mutakhir

Wanita tertekan dilabel pelacur, penipu

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: 'Umpan' wang pendahuluan RM100 sebelum mangsa diugut supaya menyerahkan wang RM1,100 kononnya bayaran 'wajib' kerana permohonan pinjaman sudah diluluskan.

Jika enggan membuat bayaran itu, mangsa akan diugut menggunakan gambar dan MyKad milik mereka dengan mendakwa individu terbabit sebagai pelacur selain difitnah sebagai penipu.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Fatihah, 35, berkata dia melihat satu hantaran di Facebook mengenai laman sesawang pinjaman wang untuk membuat pinjaman RM5,000 bagi tujuan pembayaran kad kredit pada 2 September lalu.

"Selepas menghubungi syarikat berkenaan menerusi seorang lelaki, dia mengarahkan saya untuk menyerahkan maklumat seperti gambar, MyKad, slip gaji, nombor akaun bank, nama akaun media sosial dan bil utiliti untuk tujuan memproses permohonan pinjaman berkenaan.

"Lelaki itu kemudian memasukkan wang RM100 ke dalam akaun saya kononnya sebagai percubaan pinjaman sebelum meminta saya membuat pembayaran RM1,100 selepas permohonan pinjaman dikatakan sudah diluluskan," katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Fatihah berkata, dia kemudian membatalkan pinjaman berkenaan serta mahu memulangkan semula wang RM100 itu, namun lelaki berkenaan menolaknya.

Menurutnya, lelaki terbabit turut memujuk dirinya supaya meneruskan permohonan pinjaman berkenaan, tetapi dia bertegas untuk membatalkan pinjaman terbabit.

"Namun, saya bertegas untuk tidak membuat pinjaman menyebabkan lelaki berkenaan mengugut saya dengan menghantar keratan berbentuk risalah memaparkan muka saya memegang MyKad berserta nama akaun Instagram dengan ayat berunsur ugutan serta kata-kata kesat.

"Antara fitnah yang dilemparkan dalam risalah itu adalah saya terbabit dengan kegiatan pelacuran, dilabel sebagai penipu serta pengkhianat agama," katanya.

Menurutnya, dia cuba untuk menyelesaikan masalah itu secara baik dengan memulangkan semula wang RM100 kepada lelaki terbabit termasuk pergi ke bank, tetapi gagal.

Katanya, masalah bertambah rumit apabila tempat kerjanya turut memaklumkan mereka menerima surat layang mengandungi ugutan sama dihantar lelaki terbabit pada Khamis lalu.

"Tindakan itu menyebabkan saya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk tindakan lanjut," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

Disiarkan pada: September 13, 2020 @ 6:44pm
d