mutakhir

138 mangsa masih di 4 PPS

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Sebanyak empat pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan 138 mangsa banjir daripada 46 keluarga masih dibuka susulan banjir kilat yang melanda dua daerah di negeri ini setakat jam 4 petang tadi.

Manakala Kuala Kangsar, angka mangsa banjir mencatatkan penurunan iaitu 69 mangsa daripada 14 keluarga berbanding 104 mangsa daripada 20 keluarga pada 7.30 pagi tadi membabitkan pembukaan sebanyak tiga PPS.

Sementara itu di daerah Kerian, seramai 69 individu daripada 32 keluarga terjejas setakat 4 petang tadi membabitkan hanya satu PPS dibuka secara rasmi bermula 11.30 malam semalam.

Jurucakap Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah (SPBD) Kerian berkata, banjir di daerah itu membabitkan lima buah kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gunong Semanggol iaitu 10 keluarga dari Parit 3 Kampung Alor Setanggok, Kampung Tanjung Bugis Tebok Panchur (14), Kampung Parit 2 Padang Lalang (2), Kampung Parit Air Hitam 2 (4), dan Kampung Ban Pisang (2).

Katanya, kesemua mangsa ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Haji Aman, Bagan Serai.

Manakala di daerah Kuala Kangsar, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, semua mangsa masih berada di PPS sejak mula dibuka awal pagi tadi iaitu di Kolej RISDA, Padang Rengas, Dewan Orang Ramai (DOR) Kampung Setor, dan DOR Kampung Talang Masjid.

Katanya, ia kini masing-masing menempatkan lima keluarga dari Kampung Lembah di Padang Rengas, Kampung Talang Hulu (4), dan Kampung Talang Hilir (5).

Disiarkan pada: September 13, 2020 @ 7:01pm
d