mutakhir

Bapa tiri 'sangap' ditahan

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Perubahan tingkah laku anaknya seakan trauma apabila melihat bapa tirinya membongkar mangsa pernah dicabul lelaki itu di kediaman mereka di Kepong, di sini, awal tahun ini.

Kejadian hanya disedari ibunya apabila kanak-kanak perempuan itu menceritakan kejadian menimpanya, kelmarin sebelum mereka tampil membuat laporan di Balai Polis Jinjang, di sini, semalam.

Sumber berkata, kejadian dipercayai berlaku sekitar Januari lalu ketika mangsa berusia 11 tahun sedang tidur sebelum didatangi suspek, 33, yang melakukan perbuatan tidak bermoral itu, namun dia melawan.

"Bagaimanapun sejak itu, mangsa berubah sikap dan trauma, malah hanya mahu bersama dengan ibunya sahaja ketika berada di rumah.

"Pelik dengan sikap anaknya itu, wanita terbabit bertanya kepada mangsa sebelum akhirnya dia menceritakan apa yang berlaku," katanya.

Katanya, terkejut dengan pendedahan mangsa, ibunya bertanya kepada suspek yang kemudian mengaku ada melakukan perbuatan itu.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan ketika dihubungi, hari ini mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

Menurutnya, suspek sudah ditahan semalam dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017.

Disiarkan pada: September 13, 2020 @ 7:03pm
d