mutakhir

Pengurusan pemasaran maut, MPV bertembung SUV

Oleh Nur Izzati Mohamad

Bukit Mertajam: Seorang pengurus pemasaran sebuah syarikat maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandunya bertembung dengan sebuah kereta utiliti sukan (SUV) dalam kemalangan di Taman Bandaraya, Jalan Kulim, di sini, awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi, pemandu MPV, Sim Wei Jaan, 38 disahkan maut selepas menerima rawatan di Hospital Bukit Mertajam (HBM) akibat kecederaan parah dialaminya.

Manakala pemandu SUV berusia 49 tahun turut dibawa ke hospital sama selepas mengalami kecederaan di bahagian pinggang.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad, berkata pihaknya menerima panggilan pada 2.10 pagi berhubung kemalangan itu.

"Siasatan awal mendapati pemandu MPV dalam perjalanan dari Bukit Mertajam menghala Machang Bubok. Apabila sampai di tempat kejadian , pemandu MPV dipercayai terbabas dan masuk ke laluan bertentangan hingga melanggar bahagian hadapan sebuah kereta SUV dipandu seorang pekerja kilang.

"Pertembungan itu juga menyebabkanbonet kereta MPV mengalami kebakaran kecil dan dipadamkan anggota bomba," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Shafee berkata, kedua-dua mangsa dibawa ke HBM untuk rawatan sebelum pihaknya dimaklumkan bahawa pemandu MPV itu meninggal dunia pada jam 2.25 pagi dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: September 13, 2020 @ 7:24pm
d