mutakhir

Cadang sedia dewan berasingan mangsa banjir

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Bagan Serai: Pembinaan dewan berasingan di beberapa buah sekolah di Kerian yang digazetkan khas untuk menempatkan mangsa banjir dijangka dapat mengelakkan sesi persekolahan terganggu.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil negeri Razman Zakaria berkata, menyedari sesi persekolahan sedikit terganggu dengan kehadiran mangsa banjir, pihaknya mencadangkan agar diwujudkan sebuah dewan berasingan di sekolah bagi mengasingkan mereka.

"Selain dapat mengasingkan mangsa banjir dengan sesi persekolahan, dewan ini juga dapat digunakan untuk aktiviti persekolahan sekiranya tidak digunakan.

"Bagi saya, ia merupakan satu cadangan yang sesuai bagi menempatkan mangsa banjir ini berbanding pembinaan penempatan kekal yang pastinya memakan masa agak lama dan kos yang tinggi.

"Bagaimanapun, cadangan ini akan dikemukakan di peringkat negeri untuk dikaji sebelum sebarang kata putus dibuat," katanya ditemui media ketika menyampaikan bantuan Tabung Bencana Daerah kepada mangsa banjir di PPS SK Parit Haji Aman di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kerian, Mohd Sabli Bakri.

Menurut Razman, pihaknya turut mencadangkan agar kuarters guru yang tidak digunakan seperti di SK Matang Jelutong digunakan sebagai penempatan kekal bagi menempatkan mangsa banjir.

Sementara itu, Mohd Sabli berkata, sehingga 11 pagi hari ini seramai 77 mangsa banjir dari 34 keluarga di lima buah kampung ditempatkan di PPS SK Parit Haji Aman.

Menurutnya, keadaan air yang bertakung di kediaman penduduk mula surut penurunan dan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kini giat menggerakkan beberapa pam ke beberapa kawasan bagi mengawal keadaan banjir.

Disiarkan pada: September 14, 2020 @ 2:15pm
d