mutakhir

Susah ibu tunggal dapat perhatian Perkasih N9

Oleh Mohd Khidir Zakaria

Bahau: Masalah lapar dan langsung tidak berduit adalah situasi biasa terpaksa dilalui ibu tunggal, Norfarizah Misran, 33, yang tinggal bersama lima anak berusia lima hingga 14 tahun di rumah sewa di Kampung Baru, Rompin, kira-kira 10 kilometer dari pekan Bahau, dekat sini.

Tanpa pendapatan tetap, Norfarizah membuat pelbagai pekerjaan seperti meracun dan membersihkan kebun orang bagi menyara keluarganya.

"Saya tidak memilih pekerjaan asalkan halal bagi mencari perbelanjaan untuk makan dan anak-anak bersekolah serta duit sewa rumah RM200 sebulan sebagai tempat kami berlindung.

"Saya baru sahaja bercerai dengan bekas suami, Jun lalu dan terpaksa berpindah mencari rumah sewa kerana tidak mahu menyusahkan ahli keluarga dan ibu yang sudah tua yang tinggal tidak jauh dari sini," katanya ketika ditemui selepas menerima sumbangan daripada Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (Perkasih N9) di rumahnya, semalam.

Menurutnya, dia pernah tiada duit langsung apabila tiada pekerjaan dan terpaksa meminjam wang daripada rakan untuk membeli beras dan makanan.

"Alhamdulillah, bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM450 sebulan dapatlah menampung sewa rumah dan duit minyak motosikal bagi menghantar anak ke sekolah.

"Selain itu, Baitulmal ada juga beri bantuan baucer untuk tiga bulan sekali dengan nilai RM80 sekali.

"Saya sanggup buat apa sahaja kerja, meredah semak untuk meracun, menebas dan membuat pelbagai tugasan berat asalkan ada peluang bagi mendapatkan duit bagi belanja makan dan sekolah anak, itu pun selalu juga anak-anak mengadu kelengkapan sekolah tidak lengkap," katanya.

Norfarizah berkata, anak sulungnya sebelum ini bersekolah di sekolah tahfiz di Tabuh Naning, Melaka tetapi terpaksa berhenti kerana perbelanjaannya agak tinggi membabitkan RM250 sebulan.

"Dia akan saya pindahkan ke sekolah menengah biasa sedikit masa lagi kerana kami perlu mencari sedikit duit belanja persekolahan.

"Terima kasih kepada Perkasih N9 dan Penyelaras Dun Jeram Padang Musliadi Sabtu yang banyak membantu saya sekeluarga," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Perkasih N9 Norfadilah Mansor berkata, pihaknya akan terus memantau perkembangan keluarga terbabit.

"Semua anaknya akan dimasukkan dalam senarai 'Back to School' yang kami anjurkan setiap tahun bagi membantu meringankan beban keluarga ini.

"Bukan mudah menjadi ibu tunggal tanpa pekerjaan tetap namun usaha serta kerja kerasnya mencari rezeki untuk keluarga harus dipuji," katanya.

Orang ramai yang mahu menyumbang bagi meringankan beban keluarga ini boleh melakukannya menerusi akaun Bank Simpanan Nasional milik Norfarizah, 0540041000018226.

Disiarkan pada: September 14, 2020 @ 3:10pm
d