mutakhir

Pusat pemprosesan ayam jijik ditutup

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Bukan sahaja lantai premis kotor dan hitam, sisa makanan sengaja dibiar berterabur selain longkang dipenuhi sampah.

Itu keadaan sebuah pusat pemprosesan ayam di Batu Caves, di sini yang diserbu penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), pada 10 pagi hari ini.

Berikutan itu pusat berkenaan ditutup selepas proses pengendalian didapati tidak bersih.

DBKL dalam kenyataan memaklumkan, pemeriksaan enam petugas daripada Unit Kawalan Makanan, Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitarnya mengesahkan premis gagal mengamalkan sistem memproses ayam yang bersih dan selamat.

"Keadaan premis itu tidak tersusun kemas dan tiada amalan FIFO (First In First Out) selain peti sejuk beku tidak diselenggara dengan baik, kotor dan berbau busuk serta sisa makanan di atas lantai.

"Malah, longkang awam juga dipenuhi dengan sampah-sarap daripada premis berkenaan, manakala pemprosesan makanan dilakukan kurang 0.45 meter dari aras lantai," katanya.

Kenyataan itu menyebut, notis perintah penutupan dikeluarkan mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 yang berkuat kuasa esok.

DBKL akan meneruskan pemeriksaan dan pemantauan khususnya terhadap premis berkaitan makanan bagi memastikan pengendali mematuhi peraturan serta tahap kebersihan ditetapkan.

Disiarkan pada: September 14, 2020 @ 5:11pm
d