mutakhir

Ibu cedera, anak libas pisau pemotong daging

Oleh Nur Izzati Mohamad

Butterworth: Wanita warga emas cedera di kepala dan lengan kanan selepas terkena libasan pisau pemotong daging oleh anak kandungnya dalam kejadian di rumah mereka dekat Flat Rumah Hijau, Mak Mandin di sini, pagi hari ini.

Dalam kejadian pada 8.15 pagi itu, mangsa yang berusia 67 tahun sedang mengemas rumah sambil menegur anak lelakinya berusia 42 tahun supaya menutup lampu bilik.

Bagaimanapun, lelaki terbabit berang dengan teguran itu dan kemudiannya mengambil pisau pemotong daging di dapur terus meluru ke arah ibunya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, suspek bertindak melibas pisau ke arah mangsa beberapa kali dan menyebabkan terkena pada kepala serta lengan kanan ketika warga emas itu cuba menepisnya.

"Suspek kemudian membuka pintu dan menyuruh mangsa keluar dari rumah terbabit.

"Mangsa pergi ke rumah jirannya untuk berlindung sementara menunggu polis dan ambulans tiba," katanya.

Menurutnya, mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) dan dilaporkan mengalami luka sepanjang 10 sentimeter (cm) di kepala dan 8 cm di lengan.

Noorzainy berkata, mangsa dan suspek yang tidak bekerja hanya tinggal berdua sahaja di rumah berkenaan.

"Polis berjaya memujuk dan memberkas suspek serta merampas pisau pemotong daging terbabit untuk siasatan lanjut.

"Hasil semakan mendapati suspek mempunyai tujuh rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah," katanya.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: September 14, 2020 @ 5:30pm
d