mutakhir

Jho Low orang kanan Najib, wakil urusan 1MDB

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mendedahkan di Mahkamah Tinggi, hari ini bahawa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low adalah orang kanan Datuk Seri Najib Razak dalam mencaturkan hal ehwal urusan syarikat 1MDB.

Mohd Hazem Abdul Rahman, 47, saksi pendakwaan ke-10 menyatakan enam alasan mengapa beliau berpendapat sedemikian.

Pertama, katanya pengenalannya dengan Jho Low adalah melalui Datuk Azlin Alias iaitu Ketua Setiausaha Sulit Najib ketika itu jelas menunjukkan bahawa Jho Low merupakan orang yang mempunyai akses kepada pasukan kerja di Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan membawa mandat perdana menteri.

Kedua, katanya, akses Jho Low terus dengan Najib yang beliau pernah nampak beberapa kali ketika beliau mempunyai pertemuan dan perbincangan dengan Najib berhubung 1MDB, Jho Low akan turut sama hadir.

"Saya sahkan kehadiran Jho Low bersama Datuk Seri Najib di beberapa tempat luar negara seperti di New York pada 2013 dan di Abu Dhabi sekitar 2013 dan 2014 apabila saya menghadiri majlis menandatangani (perjanjian) atau bermesyuarat dengan pihak pelabur luar," katanya dalam penyataan saksinya pada perbicaraan kes rasuah Najib membabitkan RM2.3 bilion dana 1MDB.

Ketiga Mohd Hazem berkata, dalam beberapa mesyuarat mengenai 1MDB dengan Najib di rumah bekas perdana menteri itu, beliau melihat Najib berbincang dengan Jho Low terlebih dahulu barulah Najib akan berjumpa dengannya.

"Setelah itu kami bertiga akan bermesyuarat tentang isu 1MDB yang Jho Low memainkan peranan aktif dalam perbincangan tersebut," katanya.

Keempat, katanya, pertemuannya dengan Jho Low adalah melalui Azlin yang diakui sendiri oleh Azlin bahawa Jho Low mewakili perdana menteri dalam 1MDB.

Kelima, katanya, Jho Low telah menyusun orang-orang beliau (proksi) dalam 1MDB antaranya ialah Jasmine Loo dan Terence Geh iaitu untuk melantik pengurusan kanan perlulah diluluskan dan diperkenankan oleh Najib terlebih dahulu.

Sebab terakhir katanya, Jho Low juga menyusun ahli lembaga pengarah (BOD) yang dipengerusi oleh Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin, supaya kesemua aktiviti dalam 1MDB akan mudah diberi persetujuan oleh pihak BOD.

Disiarkan pada: September 14, 2020 @ 5:45pm
d