mutakhir

Peminat jumpa 'Mowgli Malaysia' beri sokongan moral

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Terengganu: Lebih 100 penduduk serta peminat Muhammad Syukur Khamis atau lebih dikenali sebagai 'Mowgli Malaysia' datang ke kandang kerbaunya di Kampung Banggol Katong, untuk memberikan sokongan moral, sejak pagi hari ini.

Penduduk dan peminat terbabit datang bertemu Muhammad Syukur untuk memberi semangat selepas berita kematian mengejut lebih 30 kerbau peliharaannya tular di media sosial.

Fauzi Aziz, 33, dari Bachang, Melaka, berkata, dia bersama 30 ahli keluarganya adalah peminat Muhammad Syukur dan kebetulan berada di Kuala Terengganu.

"Kebetulan kami datang ke Kuala Terengganu dan terkejut apabila membaca berita mengenai kematian ternakan Muhammad Syukur.

"Kami terus bergegas ke kandang kerbau itu untuk melihat sendiri situasi di situ selain memberi sokongan moral kepada Muhammad Syukur dan keluarganya.

"Sangat menyayat hati apabila melihat kerbau mati bergelimpangan di dalam kandang kerana serangan penyakit.

"Saya dan keluarga sudah lama bercadang untuk mengunjungi kandang kerbau itu sambil berjumpa dengan Muhammad Syukur," katanya.

Abdullah Dean Mohd Zain, 45, atau lebih terkenal dengan panggilan Dallah Deen berkata, dia sudah sedia maklum dengan kematian kerbau yang diternak Muhammad Syukur dan keluarganya itu sejak Jumaat lalu.

"Pada mulanya ahli keluarga Muhammad Syukur tidak ingin menghebohkan kejadian itu tetapi memandangkan semakin banyak kerbau mati, ia perlu dikongsi di media sosial untuk makluman umum dan peringatan kepada penternak lain.

"Perkongsian di media sosial itu dengan harapan ada pihak bertanggungjawab tampil memberi bantuan tertentu kepada Muhammad Syukur sekeluarga.

"Sedih melihat mereka sekeluarga dan mereka perlu dibantu pihak bertanggungjawab maklumlah kos untuk menanam bangkai kerbau itu besar," katanya.

Sementara itu Muhammad Syukur berkata, dia terharu dengan kedatangan penduduk dan peminat ke kandangnya untuk memberi sokongan moral kepadanya sekeluarga.

"Terima kasih kepada semua kerana hadir dan memberi sokongan kepada kami.

"Sedikit sebanyak sokongan itu memberi sedikit kelegaan kepada kami dalam menghadapi dugaan itu," katanya.

Dalam perkembangan lain, tinjauan Harian Metro ketika kerja menanam bangkai kerbau mendapati semua ahli keluarga Muhammad Syukur tidak dapat menahan kesedihan apabila melihat 11 bangkai kerbau ditanam di tengah kandang menggunakan jengkaut.

Berita berkaitan

''Syukur kena sabar, ada hikmah tersembunyi' - Menteri Agama'

'Kerbau 'Mowgli' mati kerana hawar berdarah [METROTV]'

'30 kerbau 'Mowgli' mati mengejut [METROTV]'

Disiarkan pada: September 14, 2020 @ 7:18pm
d