mutakhir

Diupah RM250 bungkus dadah

Oleh Juwan Riduan

Kota Kinabalu: Sekumpulan lima individu dikesan aktif menjadi 'orang tengah' mengedar dadah di bandar raya ini sejak awal tahun lalu dengan menerima upah membungkus dadah sebanyak RM250 sehari.

Bagaimanapun, kegiatan mereka itu berjaya dihidu polis sebelum mereka ditahan ketika membungkus dadah di sebuah kondominium di Telipok, di sini, semalam.

Kelima-lima suspek berusia 22 hingga 40 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dalam serbuan kira-kira jam 3 petang.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, ketika serbuan dijalankan, ada lima individu di rumah terbabit termasuk pasangan kekasih.

"Polis merampas 66 peket dadah syabu seberat 211.03 gram dan 0.85 gram ganja dianggarkan bernilai RM21,146 mengikut harga pasaran.

"Polis turut merampas beberapa barangan serta peralatan yang digunakan untuk membungkus dan menghisap dadah," katanya dalam sidang media di IPD Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Habibi berkata, hasil siasatan mendapati rumah yang diserbu digunakan sebagai tempat untuk membungkus dadah.

Katanya, siasatan mendapati rumah berkenaan dipilih untuk mengaburi mata pihak berkuasa dan pelanggan juga akan datang ke rumah itu untuk membeli dadah serta menyediakan perkhidmatan untuk menagih dadah di rumah berkenaan.

"Mereka mendapatkan bekalan daripada pengedar utama sebelum membungkusnya dalam kuantiti tertentu dan akan dijual dengan harga bermula RM50.

"Kumpulan ini yang dikesan aktif sejak awal tahun lalu adalah sebagai pengedar kecil-kecilan yang aktif di kawasan Inanam dan Manggatal," katanya.

Habibi berkata, suspek kini direman selama seminggu dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Disiarkan pada: September 14, 2020 @ 7:48pm
d