mutakhir

Jasad Dublin sudah ditemui

Oleh Erika George

Sibu: Mayat remaja lelaki, Dublin Cilnet, 18, yang lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Batang Rajang pada pagi Sabtu lalu ketika menggunakan bot fiber bagi menghantar tong minyak ke seberang sungai, sudah ditemui .

Jasadnya ditemui terapung pada jarak 40 kilometer di hilir sungai iaitu lokasi mangsa terjatuh berhampiran Nanga Ensengai Kanowit pada 4.30 petang semalam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak mengesahkan, mayat mangsa ditemui orang awam terapung berhampiran Sungai Bidut sebelum menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu Sentral berhubung penemuan mayat itu.

"Pihak polis kemudiannya menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah bagi menjalankan pemeriksaan berhubung penemuan mayat terapung berkenaan.

"Sejurus berjaya dibawa ke jeti berhampiran sekitar 5.30 petang, proses pengecaman dilakukan oleh ahli keluarga mangsa. Pengecaman dibuat berdasarkan baju, gelang dan rantai yang dipakai mangsa pada hari kejadian," ujarnya.

Dengan penemuan mayat mangsa tersebut Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) mangsa yang memasuki hari ketiga semalam, ditamatkan.

Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Sibu bagi tujuan bedah siasat.

Disiarkan pada: September 15, 2020 @ 12:37pm
d