mutakhir

Mangsa terperangkap dipercayai cuba padam api [METROTV]

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Kakitangan Syarikat Air Darulaman (SADA) Roslan Abu Bakar, 56, yang ditemui rentung dalam kebakaran di rumahnya di Taman Malik, di sini, hari ini dipercayai terperangkap dalam asap ketika cuba memadam api.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 5.32 pagi.

Menurutnya, rumah terbabit didiami empat sekeluarga, namun seorang daripadanya ditemui dalam keadaan rentung.

Katanya, isteri mangsa yang kurang sihat berjaya diselamatkan dua anak mereka keluar dari rumah berkenaan.

"Berdasarkan keterangan isteri mangsa, api dipercayai bermula di bilik anak lelaki mereka yang terletak bersebelahan bilik mangsa.

"Ketika itu isteri mangsa sempat mengejutkan dua anak mereka dan mangsa pada mulanya berjaya menyelamatkan diri, namun terperangkap di pintu hadapan rumah itu ketika cuba memadam api.

"Bagaimanapun, ketika anggota bomba tiba dan cuba memecah masuk pintu berkenaan, mayat mangsa ditemui rentung di situ," katanya ketika ditemui ketika melawat lokasi kejadian, hari ini.

Menurutnya, turut terbakar tiga buah kenderaan iaitu Perodua Kelisa, Honda Accord dan Perodua Alza di hadapan rumah berkenaan yang membabitkan kerosakan 30 peratus.

Katanya, sepasukan 13 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja dan BBP Alor Setar dengan bantuan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berjaya memadam api pada 6.30 pagi.

"Pegawai Bahagian Forensik JBPM Kedah masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian dan kerugian yang dialami.

"Justeru, saya menasihatkan orang ramai supaya selamatkan diri sendiri terlebih dahulu sebelum memikirkan harta benda kerana ia boleh mengundang bahaya apabila terperangkap dalam kebakaran," katanya.

Berita berkaitan

Lelaki maut rumah terbakar

Disiarkan pada: September 15, 2020 @ 3:12pm
d