mutakhir

Ugut, kurung kekasih

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Hanya kerana salah faham menyangka kekasihnya mempunyai teman lelaki lain, seorang lelaki warga Bangladesh tergamak mengurung wanita warga Filipina itu di dalam sebuah rumah di Jalan Klang Lama, di sini, selain mengugut ingin menyebarkan gambar hubungan seks mereka.

Malah, lelaki warga Bangladesh berusia 32 tahun itu turut mengugut mangsa yang berumur 38 tahun menggunakan pisau sebelum polis yang menerima maklumat berhubung kejadian itu bertindak menyelamatkannya yang ditemui tidak sedarkan diri di dalam bilik rumah terbabit, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin@Hilmi berkata, polis menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 12.27 tengah malam berkaitan pergaduhan menggunakan pisau dan seorang wanita dikurung lelaki di sebuah rumah.

Menurutnya, laporan polis itu dibuat lelaki warga Filipina yang juga adik mangsa yang memberitahu kakaknya dikurung teman lelaki.

"Adik mangsa memaklumkan dia mengetahui kejadian itu selepas dihubungi kakaknya melalui komputer berikutan telefon bimbit mangsa dirosakkan.

"Polis kemudian ke lokasi kejadian dan menemui mangsa di dalam bilik berkunci dan tidak sedarkan diri sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan.

"Semasa serbuan, suspek didapati sudah melarikan diri dan siasatan mendapati mangsa yang bekerja sebagai pengurus berkawan dengan suspek sejak setahun lalu," katanya dalam kenyataan media, semalam.

Zairulnizam berkata, mereka juga sering bergaduh akibat salah faham di mana suspek mengesyaki mangsa mempunyai hubungan dengan lelaki lain.

"Mangsa memberitahu dia masih diganggu oleh suspek yang tidak mahu melepaskannya malah suspek membuat ugutan dengan menghantar mesej bergambar hubungan seks mereka dan mengugut untuk menyebarkannya bagi memburukkan nama dan kerjaya mangsa.

"Susulan itu, pada jam 7 malam, Ahad lalu, polis menahan suspek di sebuah rumah di Jalan Puchong dan merampas barang kes yang dipercayai bersangkut dengan kes ugutan dan khianat yang dilakukan," katanya.

Beliau berkata, suspek juga mengaku terbabit dalam kes ugutan dan semakan mendapati dia tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

"Suspek ditahan reman selama 14 hari mengikut Akta Imigresen bermula Ahad lalu bagi membantu siasatan sementara kami menunggu laporan dari Jabatan Imigresen.

"Kertas siasatan turut dibuka mengikut Seksyen 427 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan," katanya.

Disiarkan pada: September 15, 2020 @ 3:34pm
d