mutakhir

Lari tinggal syabu RM23.4 juta [METROTV]

Oleh Siti Rohana Idris

Tumpat: Tindakan pemandu sebuah pacuan empat roda memecut kenderaannya melarikan diri daripada pihak berkuasa membawa kepada penemuan 584 kilogram (kg) syabu yang dianggarkan bernilai RM23.4 juta.

Longgokan guni yang mengandungi syabu itu terdapat dalam kenderaan jenis Mitsubishi Triton yang ditemui tanpa pemandu di dalam semak di Kampung Cherang Melintang, di sini, kira-kira 7 malam Sabtu lalu.

Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafein Mamat, berkata terdahulu kenderaan yang dipandu dalam keadaan mencurigakan itu diekori oleh sepasukan anggota Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) bermula dari Kampung Teluk Jering.

Beliau berkata, kenderaan itu diekori sejauh 10 kilometer sebelum pemandunya menyedari kehadiran pihak berkuasa dan segera memecut kenderaannya.

"Anggota AKSEM terus mengejar dan secara tiba-tiba sebuah kereta jenis Proton Satria Neo yang dipercayai tonto turut mengekori dan membuat halangan sebelum satu das tembakan amaran terpaksa dilepaskan ke udara.

"Kedua-dua kenderaan itu pantas menyelinap ke dalam hutan di Kampung Cherang Melintang dan gagal dikesan pihak berkuasa," katanya ketika sidang media, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat, di sini, hari ini.

Shafein berkata, tidak lama selepas itu, ketika dalam tugasan rondaan, anggota unit kereta peronda (MPV) menerima maklumat menyatakan terdapat pacuan empat roda itu di dalam semak tepi jalan di Kampung Cherang Melintang.

Beliau berkata, pemeriksaan di dalam kenderaan itu mendapati ada longgokan guni plastik berwarna putih yang mengandungi 584kg ketulan kristal disyaki syabu yang diisi dalam bungkusan teh cina.

"Hasil semakan terhadap kenderaan itu mendapati ia dimiliki individu yang beralamat di Perak dan kami sedang mengesan pemiliknya," katanya.

Shafein juga tidak menolak kemungkinan bahawa rampasan itu ada kaitan dengan sindiket dadah yang tumpas baru-baru ini namun siasatan lanjut akan dibuat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan (KK) kerana menghalang penjawat awam.

"Siasatan lanjut dan terperinci sedang dijalankan untuk mengenalpasti pembekal dan pengedar dadah yang dirampas.

"Kami mengalu-alukan sebarang maklumat dari orang ramai untuk membantu siasatan," katanya.

Disiarkan pada: September 15, 2020 @ 4:22pm
d