mutakhir

Jeti Pulau Pangkor akan dinaik taraf [METROTV]

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Pangkor: Jeti di pulai ini akan dinaik taraf dengan dilengkapi terminal teksi dan pengangkutan awam bersepadu, Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ) dan penginapan kakitangan.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Datuk Seri Jebasingam Issace John berkata, terminal penumpang yang dicadangkan akan dibangunkan di tanah seluas 7.28 hektar di mana kerja pembinaan akan dilakukan secara berperingkat.

Menurutnya, cadangan struktur jeti yang diperluas boleh menempatkan hingga enam kapal pada bila-bila masa.

Manakala kerja menaik taraf Jeti Kargo Sungai Pinang Besar akan mempunyai gudang dan logistik bersepadu serta jalan masuk yang ditingkatkan untuk menampung kapal roll-on, roll-off yang lebih tinggi dan luas (besar), katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, kerja menaiktaraf jeti penumpang itu perlu dilakukan dengan segera supaya dapat menyelesaikan masalah kesesakan sekaligus dapat meningkatkan lagi kedatangan pelancong ke pulau itu.

"Selaras dengan perubahan status Pangkor sebagai pulau bebas cukai kehadiran pelancong semakin meningkat mencapai 30,000 hingga 50,000 orang terutama pada musim percutian.

"Bagaimanpun, keadaan jeti utama yang kecil menyebabkan masalah kesesakan dan sebab itu kerja menaiktaraf jeti perlu disegerakan supaya ia lebih selesa.

"Ini juga termasuk jeti di Sungai Pinang Kecil untuk kegunaan penduduk pulau ini dan jeti kargo untuk mengangkut barang selain penambahan feri," katanya ketika lawatan kerja Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke pulau itu, hari ini.

Ini adalah lawatan kerja pertama Muhyiddin ke Pulau Pangkor dan beliau meluangkan kira-kira 20 minit melawat dan meninjau Jeti Pangkor dalam lawatan kerja sehari itu.

Program rasmi lain termasuk mempengerusikan mesyuarat Mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara ke-23.

Beliau tiba di jeti pada jam 9.50 pagi dan lawatan itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Muhyiddin meninjau jeti utama pergerakan keluar masuk pelancong ke pulau itu yang ketika ini semakin padat terutama ketika cuti umum dan hujung minggu sejak pelaksanaan pulau bebas cukai.

Turut hadirMenteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang turut memberi taklimat mengenai kerja penambahbaikan Jeti Pangkor antara fokus di bawah Pelan Pembangunan Strategik (SDP 2021-2025) Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

Disiarkan pada: September 15, 2020 @ 4:31pm
d