mutakhir

Tempah Proton X50 hanya RM500 [METROTV]

Oleh Lizam Ridzuan

Kuala Lumpur: Dengan hanya RM500, penggemar kenderaan utiliti sukan (SUV) boleh menempah model terbaharu keluaran Proton Holdings Berhad (Proton) iaitu Proton X50 bermula esok, di ruang pameran terpilih seluruh negara.

Proton X50 ditawarkan dengan enjin 1.5 liter turbo dalam empat varian iaitu 1.5T Standard, 1.5T Executive, 1.5T Premium dan 1.5 TGDi Flagship.

Ia dilengkapi kotak gear dwi-klac tujuh kelajuan, empat atau enam beg keselamatan, rim aloi 17 atau 18 inci, kerusi balutan fabrik atau kulit dan sistem infotainmen GKUI tahap 2 (bergantung kepada varian).

Ia ditawarkan dengan enam pilihan warna iaitu Putih Snow, Perak Armour, Kelabu Jet, Biru Ocean, Oren Citric dan Merah Passion.

Bagaimanapun, harga sebenar kenderaan itu belum diumumkan kerana ia hanya akan dibuat pada majlis pelancaran rasmi tidak lama lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, pihaknya menyasarkan jualan sebanyak 4,000 unit untuk model ini.

"Sasaran ini adalah sehingga akhir tahun dan kapasiti kilang pengeluaran mampu mencapai sehingga 8,000 unit.

"Kami membuka tempahan Proton X50 bermula esok dan sekiranya berlaku peningkatan di luar jangkaan, syarikat akan menambah jumlah pengeluaran bagi memenuhi permintaan pembeli," katanya pada sesi pratonton media Proton X50 di Tanjung Malim, hari ini.

Disiarkan pada: September 15, 2020 @ 5:03pm
d