mutakhir

Bon 1MDB guna beli tanah untuk kempen PRU

Oleh Johari Ali

Kuala Lumpur: Wang terbitan bon berjumlah AS$3 bilion oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) digunakan untuk membeli tanah di Ayer Itam, Pulau Pinang sebagai satu inisiatif UMNO berkempen bagi pilihan raya umum (PRU) pada 2013.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Mohd Hazem Abdul Rahman memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, ketika berkempen dalam satu ceramah, Datuk Seri Najib Razak menyatakan tanah yang dibeli itu akan dimajukan 1MDB untuk membina rumah mampu milik di negeri terbabit.

Beliau berkata, ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low memberitahunya, wang daripada terbitan bon itu disegerakan kerana akan digunakan bagi tujuan pilihan raya dan membayar hutang Standard Chartered yang dulunya dipinjam untuk membiayai Pelaburan Petro Saudi.

Katanya, 1MDB memerlukan wang yang banyak dengan kadar segera sehingga sanggup membayar fi yang tinggi kepada syarikat Goldman Sachs dalam penerbitan bon itu.

Mohd Hazem berkata demikian pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik wang 1MDB dihadapi Najib yang juga bekas Presiden UMNO.

Beliau berkata, pihak pengurusan dan Lembaga Pengarah 1MDB sudah maklum bahawa setiap arahan daripada Jho Low, datang daripada Najib.

Katanya, beliau sejak awal lagi mengetahui bahawa dana di luar negara dikawal oleh peguam syarikat, Jasmine Loo dan Jho Low, tanpa ada campur tangan daripada Lembaga Pengarah.

Katanya, beliau tidak bertanya banyak (mengenai arahan diterima) kerana melalui pengalamannya segala yang diminta oleh Jho Low dan Jasmine sebenarnya diminta oleh Najib sendiri.

"Saya ada menghubungi Jho Low untuk meminta kebenaran membawa balik dana yang disimpan di luar negara tetapi Jho Low berkata, ia tidak boleh digunakan kerana untuk kegunaan dana UMNO.

"Selepas mendengar hal itu, saya pun faham bahawa Najib mengawal kewangan untuk tujuan parti UMNO," katanya.

Disiarkan pada: September 15, 2020 @ 5:19pm
d