mutakhir

23 kes baharu hari ini, termasuk 13 di Sabah [METROTV]

Oleh Saipul Adli Mohamad; Muhaamad Hafis Nawawi dan Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Sebanyak 23 kes baharu jangkitan Covid-19 dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), setakat 12 tengah hari, hari ini, sekali gus merekodkan 9,969 kes positif keseluruhan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 23 kes baharu itu, 10 kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara membabitkan lima warganegara dan lima bukan warganegara.

Beliau berkata, ia membabitkan mereka yang pulang Filipina (empat kes), Hungary (satu kes), Turki (satu kes), Qatar (satu kes), Bangladesh (satu kes), Nigeria (satu kes) dan satu kes dari Maghribi.

"Manakala 13 kes penularan tempatan membabitkan 10 warganegara dan tiga bukan warganegara yang semuanya berlaku di Sabah.

"Ia membabitkan lapan kes dari kluster baharu iaitu Kluster Pulau di Kunak, empat kes Kluster Benteng Lahad Datu serta satu kes saringan rujukan dari Hospital Semporna ke Hospital Tawau.

"Sehubungan itu, kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 meningkat kepada 632 kes dan mereka sudah diasingkan serta diberi rawatan di hospital," katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat enam kes pulih dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes pulih meningkat kepada 9,209 kes bersamaan 92.4 peratus.

Beliau berkata, sehingga kini, 14 kes positif Covid-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan empat kes memerlukan bantuan pernafasan.

Menurutnya, tiada kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian adalah 128 kes iaitu 1.28 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: September 15, 2020 @ 5:27pm
    d