mutakhir

Tidur 'mati', tak sedar rumah tenggelam banjir

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

Kuala Selangor: "Saya hanya tersedar banjir menenggelamkan rumah sebaik air mengenai tubuh. Ketika itu saya sedang tidur nyenyak tanpa menyedari bencana berlaku," ujar Abdul Rahim Buyong, 40 di Kampung Rantau Panjang, Bestari Jaya, di sini.

Dalam kejadian banjir petang kelmarin, seramai 20 penduduk membabitkan tiga keluarga dari kampung berkenaan terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Panjang di sini.

Adbul berkata, banjir yang berlaku bermula jam 2 petang itu bagaimanapun tidak surut dan terus menenggelamkan kampung sedalam hampir 0.4 meter.

"'Banjir 'termenung' yang berlaku di kawasan kampung berkenaan menyebabkan kebanyakan rumah yang ditenggelami banjir tidak dapat dihuni.

"Mujur saya sempat menyelamat barang elektrik dan dokumen peribadi yang berada di dalam rumah," katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Panjang di sini, tadi.

Menurutnya, dia amat berharap pihak bertanggungjawab mengambil serius berhubung masalah banjir yang menimpa penduduk di kawasan itu.

"Ini adalah antara kejadian banjir paling buruk pernah dialami sejak kami menetap di kampung ini sejak 50 tahun lalu.

"Kali terakhir banjir seburuk ini berlaku pada tahun 1995. Setiap kali hujan lebat berterusan, saya pasti bimbang kerana khuatir memikirkan keadaan rumah yang bakal digenangi air.

"Justeru, saya harap pihak berkuasa terutama Kerajaan Selangor boleh membantu penduduk yang mengalami banyak kerosakan rumah serta barang selain menyelesaikan masalah banjir yang kerap berlaku," katanya.

Sementara itu Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kapten (PA) Shaiful Azril Zainal berkata, pihaknya dimaklumkan ketua kampung terbabit berhubung situasi banjir di kawasan itu.

"Beliau (ketua kampung) memaklumkan air mulai surut dan memerlukan masa sehari lagi bagi memastikan keadaan terkawal," katanya.

Disiarkan pada: September 15, 2020 @ 7:01pm
d