mutakhir

Polis perlu butiran kes anak jutawan pandu kereta

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Siasatan terhadap video tular memaparkan seorang remaja perempuan bawah umur yang juga anak jutawan kosmetik memandu kereta sudah dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) untuk tindakan lanjut.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, Superintendan Zakaria Abd Rahman berkata, terdapat beberapa perkara lain yang memerlukan pengesahan sebelum kertas siasatan dilengkapkan.

Menurutnya, antaranya pengesahan daripada pihak berwajib mengenai pemilik sebenar akaun Facebook yang mula menularkan semula video pada 2018 itu.

Katanya, selain itu butiran lengkap seperti model dan nombor pendaftaran kereta yang dipandu remaja itu ketika kejadian kerana ia tidak tertera menerusi video yang ditularkan.

"Biarpun pelaku sudah dikenal pasti dan tampil mengakui kesalahannya termasuk melalui temubual di media massa, namun sekiranya saman dikeluarkan tanpa butiran lengkap maka ia dikhuatiri pelakunya akan menyaman kita (polis) kembali.

"Setakat ini polis masih belum mengeluarkan sebarang saman atau kompaun terhadap remaja terbabit di samping kejadian itu yang berlaku kira-kira dua tahun lalu turut menyukarkan siasatan," katanya ketika ditemui di IPK Perak, di sini, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan polis membuka kertas siasatan mengenai tindakan remaja berkenaan yang memandu kereta di kawasan Meru Hills, di sini.

Siasatan kes dibuat mengikut Seksyen 39(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu membenarkan pemandu bawah umur memandu kenderaan dan Seksyen 26(1) akta sama kerana memandu tanpa lesen.

Sementara itu, dalam temubual sebuah portal berita tempatan, remaja berkenaan mengakui kesalahannya.

Menurutnya, kejadian berlaku ketika dia bersama ibunya dalam perjalanan dari masjid untuk pulang ke rumah membabitkan jarak kira-kira dua kilometer.

Disiarkan pada: September 15, 2020 @ 7:45pm
d