mutakhir

Jangan lambat, 5,000 kerja kosong menanti! [METROTV]

Oleh Norzamira Che Noh

Shah Alam: Individu yang sedang mencari kerja di negeri ini digalakkan untuk mendaftar secara dalam talian sekiranya mahu menyertai Selangor Mega Job Fair 2020 yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 3 dan 4 Oktober ini.

EXCO Pembangunan Generasi Belia dan Sukan dan Pembangunan Insan Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata, pendaftaran berkenaan akan memudahkan pencari kerja untuk memasuki kawasan pameran menerusi laluan khas yang disediakan.

"Pendaftaran secara dalam talian itu dibuka mulai hari ini (semalam) dan kita memang menggalakkan pencari kerja untuk mendaftar terlebih dahulu kerana masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Penganjuran karnival kerjaya ini akan dilaksanakan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dibenarkan oleh Selangor Task Force COVID-19 (STFC) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya tadi.

Beliau berkata, sekiranya pengunjung tidak membuat pendaftaran awal, pihaknya bimbang mereka perlu menunggu giliran yang lama ataupun tidak dibenarkan masuk berikutan kepadatan pengunjung berdaftar sedia ada.

Katanya, pihaknya menjangkakan kira-kira 15,000 pengunjung akan menghadiri karnival yang menyediakan 5,000 peluang pekerjaan itu.

"Selepas penganjuran di Shah Alam, kita akan menganjurkan karnival kerjaya ini di peringkat daerah dan secara keseluruhan, sebanyak 24,500 peluang pekerjaan menanti rakyat negeri ini.

"Kita akan menganjurkan karnival ini di Kuala Selangor, Kuala Langat, Gombak, Hulu Langat, Sepang, Klang, Hulu Selangor dan Sabak Bernam," katanya.

Khairuddin berkata, program berkenaan mendapat kerjasama Kementerian Sumber Manusia, JobsMalaysia dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk menangani isu pengangguran di Selangor susulan pandemik Covid-19.

"Berdasarkan maklumat dari PERKESO, seramai 20,000 penganggur direkodkan di Selangor setakat ini, justeru kita berharap karnival ini akan membantu mereka yang terjejas," katanya.

Orang ramai yang berminat untuk mendaftar boleh merujuk maklumat di Facebook Pusat JobsMalaysia Selangor dan Instagram JobsMalaysia Selangor.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: September 15, 2020 @ 7:50pm
    d