mutakhir

LDP bawa semangat baharu di Bongawan

Oleh Juwan Riduan

Bongawan: Kehadiran Parti Liberal Demokratik (LDP) di Dewan Undangan Negeri (Dun) Bongawan perlu dilihat sebagai pilihan baharu kepada rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Calonnya, Mohd Azree Abd Ghani berkata, semangat ditunjukkan itu berterusan sepanjang kempen sebelum tiba hari penentuan pada 26 September ini.

"Alhamdulillah, semangat obor kini menerangi Bongawan. Setiap hari semakin ramai mahu mengenali dan menunjukkan minat terhadap LDP yang memperjuangkan pembaharuan menyeluruh di Sabah termasuk di Bongawan.

"Rakyat Bongawan jangan lagi terpengaruh dengan dakyah parti lama dan pemimpin lama yang sebelum ini pernah diberi peluang, tetapi tidak banyak pembaharuan dilakukan mereka.

"Mari kita bersama-sama pada PRN ini melakukan perubahan menyeluruh, kita tukar pemimpin dan parti lama itu dengan LDP dan saya percaya kita akan dapat melihat perubahan yang tidak pernah berlaku sebelum ini," katanya.

Beliau berkata, walaupun hujan lebat sejak dua tiga hari kebelakangan ini sedikit menjejaskan aktiviti kempen, ia tidak mematahkan semangatnya untuk mendekati rakyat Bongawan di setiap kampung.

Menurutnya, kempen diteruskan bermula dari Kampung Tengah ke Biau Sri Serbang, Kampung Tarap, Nyaris-Nyaris dan beberapa lagi kawasan di Dun Bongawan.

"Aktiviti ini akan ditingkatkan dari semasa ke semasa supaya semua rakyat di Bongawan tahu apa sebenarnya LDP mahu tawarkan kepada mereka.

"Masa depan Bongawan terletak di tangan kita semua, jadi kita perlu bijak membuat pilihan, jangan lagi terpedaya seperti dulu-dulu," katanya.

Mohd Azree, 29, antara calon orang muda diberi kepercayaan oleh LDP untuk menggalas cabaran parti itu dalam misi untuk membentuk kerajaan baharu yang akan mengubah masa depan Sabah.

Beliau berdepan saingan empat penjuru di Bongawan menentang Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Datuk Seri Anifah Aman; calon Warisan, Dr Daud Yusof dan calon Barisan Nasional (BN), Ag Lahap Ag Bakar @ Ag Syairin.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Disiarkan pada: September 15, 2020 @ 11:19pm
d