mutakhir

Empat tokan dadah dicekup

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Taiping: Empat tokan dadah antara 42 lelaki yang ditahan dalam Ops Sarang Khas Perak membanteras penyalahgunaan dadah membabitkan serbuan di tiga 'port' atau sarang penagih secara berasingan sekitar daerah ini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, operasi dianggotai 23 anggota serta tiga pegawai itu mendapati 30 daripada individu ditahan itu didapati positif dadah.

"Bagi tangkapan yang didapati positif ujian urin, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB), sementara enam tangkapan yang membabitkan kesalahan berkaitan bekalan yang disiasat mengikut Seksyen 39A(1) akta sama.

"Selain itu, terdapat tiga tangkapan membabitkan kesalahan memiliki dadah yang disiasat mengikut Seksyen 12(2) ADB, di samping tiga lagi tangkapan dilakukan mengikut Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985," katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Katanya lagi, serbuan turut berhasil merampas dadah jenis heroin seberat 2.6 gram (g), syabu (8.1 g), serta empat biji pil Eramin 5 (2.3 g) membabitkan nilai keseluruhan RM995.

"Operasi diketuai Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping bagi mengenal pasti ahli sindiket pengedaran dadah yang wujud selain penagih tegar di kawasan pentadbiran IPD Taiping," katanya.

Disiarkan pada: September 16, 2020 @ 8:23am
d