mutakhir

Bomba selamat tiga beranak terperangkap dalam kebakaran

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Puchong: Tindakan pantas pihak bomba menyelamatkan nyawa tiga beranak termasuk seorang bayi lelaki yang terperangkap dalam kebakaran di Taman Puchong Prima, di sini, pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 8.15 pagi.

"Seramai 17 pegawai dan anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Puchong dan BBP Cyberjaya dikejarkan ke lokasi.

"Sebaik tiba, kami mendapati terdapat kebakaran membabitkan sebuah rumah teres dua tingkat dipercayai berpunca daripada jerangan masakan, namun asap terlalu tebal.

"Ketika kejadian, terdapat tiga mangsa iaitu seorang wanita berusia 31 tahun bersama dua anaknya masing-masing berusia satu dan sembilan tahun keluar ke balkoni di tingkat satu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, anggota bomba bertugas kemudian menyelamatkan tiga mangsa terbabit menggunakan tangga dari luar bangunan dan tangga dalam laluan di rumah berkenaan.

"Anggota bomba bertugas mengambil masa beberapa minit sebelum kesemua mangsa berkenaan berjaya dikeluarkan dengan selamat tanpa sebarang kecederaan," katanya.

keterangan gambar:

1. ANGGOTA bomba membantu menyelamatkan tiga mangsa yang terperangkap selepas rumah mereka di Taman Prima Puchong terbakar, hari ini.

Disiarkan pada: September 16, 2020 @ 2:47pm
d