mutakhir

Rupanya bawa 50 kg daun ketum...

Oleh Siti Rohana Idris

Kota Bharu : Kemalangan membabitkan sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton yang terbabas dan melanggar pembahagi jalan di Pasir Hor menghala ke Kubang Kerian malam tadi, menimbulkan tanda tanya apabila pemandunya menghilangkan diri.

Polis bertindak membuat pemantauan lebih kurang tiga jam dan mendapati tiada sesiapa yang tampil di tempat kejadian.

Bagaimanapun hasil pemeriksaan polis membawa kepada penemuan 50 kilogram (kg) daun ketum di dalam kenderaan itu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, pihak polis dimaklumkan mengenai kejadian yang berlaku sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

"Anggota kami membuat pemantauan lebih kurang tiga jam dan mendapati tiada sesiapa yang tampil di tempat kejadian.

"Seterusnya pemeriksaan dibuat di bahagian dalam kenderaan itu sebelum mendapati bungkusan plastik hitam dan putih yang mengandungi daun kehijauan disyaki ketum dengan anggaran nilai RM15,000," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Abdul Rahim berkata, pemeriksaan ke atas nombor pendaftaran kenderaan itu mendapati tiada rekod dilaporkan hilang.

"Sehingga kini belum ada pihak yang tampil membuat laporan berhubung kemalangan itu. Saya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menyalurkan maklumat denganmenghubungi mana-mana balai polis yang terdekat.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya.

Disiarkan pada: September 16, 2020 @ 3:01pm
d