mutakhir

Kejutan Mickey Mouse hulur hadiah

Oleh Rosman Shamsudin

Slim River: Idea kreatif seorang wanita memakai kostum watak kartun terkenal, Mickey Mouse ketika membuat penghantaran hadiah mencuit perhatian orang ramai.

Tindakan M Rajeswary, 22, berjalan kaki dengan mengenakan kostum itu ketika membuat penghantaran hadiah tempahan pelanggan di perhentian bas, di sini, berjaya memberi kejutan.

Rajeswary berkata, idea untuk mencipta kelainan dengan membuat penghantaran timbul sendiri dengan disokong oleh suaminya, R Vikneswaran, 32, bagi menjana pendapatan mereka.

Katanya, pelanggan hanya perlu menghubunginya dan memberikan maklumat atau butiran penerima hadiah sebelum dia membuat penghantaran di lokasi terbabit.

"Kebiasaannya penerima yang menerima hadiah yang ditempah oleh saudara atau rakan yang ingin membuat kejutan ketika sambutan hari lahir atau ulang tahun perkahwinan akan terkejut.

"Selepas menerima hadiah terbabit, rata-rata mereka berasa gembira dan teruja dengan kejutan yang diberikan oleh saudara atau rakan mereka," katanya ketika ditemui di Pekan Slim River, hari ini.

Katanya, walaupun pada mulanya dia agak malu dan takut dengan tanggapan orang ramai, namun tetap memberanikan diri melakukan pekerjaan itu dengan sokongan suaminya.

"Saya memulakan pekerjaan ini kira-kira sebulan lalu bagi membantu suami menambah pendapatan keluarga dan setakat ini, sambutan yang diterima amat menggalakkan.

"Sebelum ini, saya pernah menerima tempahan memakai kostum Mickey Mouse untuk majlis perkahwinan dan hari lahir bagi memberi keceriaan kepada kanak-kanak," katanya.

Katanya, di samping dapat membuat orang ramai rasa gembira, dia juga amat berpuas hati kerana menghiburkan mereka dengan perkhidmatan yang diberikan.

Disiarkan pada: September 16, 2020 @ 3:28pm
d