mutakhir

Sarang burung walit tiada sijil kesihatan dirampas

Oleh Omar Ahmad

Senai: Cubaan seorang warga tempatan membawa masuk 11 kilogram (kg) sarang burung walit dari Indonesia digagalkan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Johor di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai di sini, semalam.

Sarang burung walit dianggarkan bernilai RM4,000 itu cuba dibawa masuk seorang lelaki berusia 40 tahun menerusi perkhidmatan kurier, di sini.

Pengarah Maqis Johor, Nur Afifah A. Rahman berkata, dagangan itu dikesan susulan pemeriksaan Maqis dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di sebuah syarikat kurier, di sini, pada 12 tengah hari semalam.

"Hasilnya, kami menemui produk sarang burung walit yang dimuatkan dalam dua kotak berasingan.

"Pemeriksaan lanjut mendapati dagangan itu tidak mempunyai sebarang dokumen seperti permit import sah yang dikeluarkan Maqis dan sijil kesihatan dari negara asal.

"Lelaki berkenaan mengaku memesan sarang burung walit itu dari negara jiran untuk kegunaan sendiri, dagangan itu kemudian ditahan untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] kerana mengimport keluaran pertanian tanpa permit, lesen atau perakuan yang dikeluarkan di bawah akta ini.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) akta sama, iaitu denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 6 tahun atau kedua-duanya.

Disiarkan pada: September 16, 2020 @ 3:31pm
d