mutakhir

Aku Janji Gabungan Rakyat Sabah mampu dilaksana

Oleh Azrul Affandi Sobry

Kota Kinabalu: Aku Janji Gabungan Rakyat Sabah (GRS) diyakini mampu direalisasikan berdasarkan kekuatan gabungan membabitkan Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) serta parti yang menyokong gabungan itu.

Orang ramai yang ditemui menzahirkan kelegaan kerana antara isi manifesto itu adalah memberikan hak kepada rakyat Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Sabah 1963.

Pekerja hotel, Arwinda Mirula, 29, yakin gabungan parti di bawah GRS cukup kuat untuk melaksanakan janji mereka dan ini adalah masa terbaik untuk rakyat Sabah menikmati kehidupan lebih baik berbanding sebelum ini.

"Sudah lama rakyat Sabah mahukan perubahan dan mendapat hak kami seperti yang dinyatakan dalam Perjanjian Sabah 1963. Saya yakin GRS mampu melaksanakannya," katanya.

Bagi pekerja swasta, Fazilah Ahmad, 35, dia gembira kerana berdasarkan Aku Janji itu, pembangunan seimbang akan dilaksanakan di semua wilayah di negeri itu.

"Kami di Kota Kinabalu mungkin sudah menikmati banyak kemudahan tapi banyak lagi kawasan lain di Sabah masih mundur dengan masalah jalan raya dan ekonomi.

"Dalam manifesto ini, ada janji untuk bagi tumpuan pembangunan sama rata di semua wilayah, jadi saya rasa inilah masa terbaik untuk kebaikan rakyat Sabah secara keseluruhan," katanya.

Peniaga, Japiril Suhaimin, 57, senada dengan yang lain apabila memberi fokus kepada Perjanjian Sabah 1963 yang sudah lama dituntut rakyat negeri itu dan dia kini yakin masa terbaik sudah tiba untuk rakyat Sabah menikmatinya.

"Kerjasama baik Sabah dengan kerajaan Pusat sangat perlu dan bagi saya, apabila adanya gabungan kali ini, ia lebih mudah dilaksana dan saya yakin mereka akan penuhi janji dalam manifesto ini," katanya.

Aku Janji GRS yang dilancarkan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggariskan sembilan teras utama yang antara lain memfokuskan kepada infrastruktur, ekonomi, peluang pekerjaan, perkhidmatan awam, pendidikan dan modal insan, kesihatan dan kesejahteraan rakyat, keselamatan, belia, serta pembangunan wanita.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Disiarkan pada: September 16, 2020 @ 4:47pm
d