mutakhir

Ditahan selepas 9 jam curi motosikal

Oleh Hamzah Osman

Langkawi: Dua lelaki termasuk seorang warga Indonesia ditahan ketika sedang leka meleraikan komponen motosikal curi di sebuah rumah di Kampung Padang Lalang di sini, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Langkawi Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kedua-dua lelaki berusia 29 dan 33 tahun itu ditahan dalam serbuan pada 7.30 malam.

Menurutnya, motosikal berkenaan dipercayai dicuri di sebuah rumah di Kampung Ketapang, Mukim Kedawang di sini, kira-kira sembilan jam sebelum itu.

"Bertindak atas maklumat awam, polis mengesan kedua-dua suspek sedang meleraikan komponen motosikal itu.

"Polis turut merampas satu anak kunci motosikal sebagai bahan bukti untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati seorang daripada suspek turut memiliki rekod jenayah lampau berkaitan curi motosikal dan penagih dadah.

"Kedua-dua suspek kini ditahan reman dan disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri motosikal," katanya.

Disiarkan pada: September 16, 2020 @ 5:58pm
d