mutakhir

Ambil syabu sebelum jalani ujian konstabel polis

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

Jempol: Cita-cita seorang penghantar cepat mahu menjadi anggota polis tidak kesampaian apabila ditangkap polis selepas gagal ujian air kencing pada 13 September lalu.

Malah ahli keluarga yang menghantar lelaki itu bagi menjalani latihan konstabel polis di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Air Hitam, Jempol turut terkejut dengan penangkapan suspek.

Pemangku Ketua Polis Daerah Jempol Deputi Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, suspek berusia 27 tahun ditahan selepas ujian air kencing didapati positif dadah jenis syabu.

Katanya, suspek antara 229 individu yang hadir melapor diri bagi pengambilan konstabel polis di Pulapol Air Hitam pada jam 9.30 pagi.

"Bagaimanapun ujian air kencing suspek yang berasal dari Perak dan memiliki Diploma Kesihatan Persekitaran itu didapati positif sebelum dia ditahan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada jam 1.30 tengah hari.

"Suspek sebelum itu sudah lulus semua ujian fizikal yang dijalani namun gagal dalam ujian air kencing," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Hafiz berkata, soal siasat mendapati suspek mula terbabit dengan dadah sejak Februari lalu dan membeli dadah dalam bentuk paket kecil berharga RM30 dengan bekalan diperoleh sekitar Kuala Lumpur.

"Suspek dibebas dengan jaminan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Disiarkan pada: September 16, 2020 @ 6:51pm
d