mutakhir

Ekonomi negara dijangka pulih 2021 [METROTV]

Oleh Mohd Roji Kawi

Sibu: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin usaha pemulihan ekonomi yang terjejas akibat penularan Covid-19 akan dipertingkatkan melalui Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Parlimen, November ini.

Beliau berkata, kerajaan mengambil langkah proaktif sejak dari awal dengan menyalurkan bantuan kepada semua golongan rakyat yang terjejas melalui pelbagai inisiatif seperti Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat atau Prihatin dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara atau Penjana dengan nilai keseluruhan sebanyak RM295 bilion.

Justeru katanya, usaha berterusan Kerajaan Persekutuan itu diyakini mampu memulihkan ekonomi negara tahun hadapan.

"Baru-baru ini Bank Negara Malaysia menyemak semula unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekitar negatif 3.4 hingga negatif 5.5 peratus berikutan impak Covid-19 yang turut melanda ekonomi di seluruh dunia.

"Bagaimanapun, ekonomi negara dijangka pulih tahun hadapan dengan unjuran pertumbuhan pada kadar 5.5 peratus sehingga lapan peratus yang dipacu oleh pertumbuhan ekonomi global dan domestik secara berterusan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena sambutan Hari Malaysia 2020 yang dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud di Stadium Tertutup Sibu, malam tadi.

Sambutan ulang tahun ke-57 pembentukan Malaysia itu dihadiri Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg dan Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Datuk Aidi Moktar serta Menteri Kabinet Persekutuan dan negeri.

Mengenai pembangunan Sabah dan Sarawak, Muhyiddin memberi jaminan, ia akan terus menjadi keutamaan Kerajaan Persekutuan.

"Baru-baru ini saya mengumumkan pelan infrastruktur digital iaitu Jalinan Digital Negara (Jendela) yang akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia ke-12.

"Inisiatif ini adalah selaras dengan komitmen Kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk memastikan tiada warga negara yang ketinggalan dalam mengecapi nikmat pembangunan termasuk penduduk di Sabah dan Sarawak yang kita ketahui sebahagian besarnya agak ketinggalan dari segi memperolehi akses kepada capaian Internet berkelajuan tinggi," katanya.

Beliau berkata, pelan Jendela adalah hasil kerjasama strategik antara Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan agensi berkaitan bersama pihak penyedia perkhidmatan komunikasi utama.

"Pelan ini merangkumi penambahbaikan komunikasi digital negara secara berfasa dengan fasa pertama kita memperluaskan liputan jalur lebar mudah alih 4G daripada 91.8 peratus kepada 96.9 peratus di kawasan berpenduduk serta membolehkan 7.5 juta premis mendapat akses kepada jalur lebar talian tetap berkelajuan gigabit.

"Rangkaian 3G juga akan ditamatkan secara berperingkat sehingga akhir 2021 bagi memantapkan rangkaian 4G serta memperkukuh asas bagi rangkaian 5G dan fasa kedua iaitu peralihan kepada rangkaian 5G akan menyusul selepas tamatnya fasa pertama," katanya.

Muhyiddin berkata, penduduk Sabah dan Sarawak adalah antara yang bakal menerima manfaat daripada pelaksanaan pelan itu apabila 35 menara baharu diwujudkan di Sabah dan 1,048 alat pemancar komunikasi di menara sedia ada akan dinaik taraf secara komersial bagi meningkatkan liputan 4G.

"Di Sarawak pula, sebanyak 49 menara baharu dan 825 alat pemancar komunikasi di menara sedia ada akan dinaik taraf secara komersial," katanya.

Katanya lagi, Kerajaan Persekutuan akan terus memantau kemajuan pelaksanaan pelan itu secara menyeluruh dan beliau yakin dengan sokongan padu dan kerjasama erat antara kementerian, agensi yang berkaitan dan kerajaan negeri, pelan Jendela akan mendatangkan banyak faedah kepada rakyat.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan Belanjawan 2021
  • Disiarkan pada: September 16, 2020 @ 10:13pm
    d