mutakhir

Kutip 50 biji telur sehari [METROTV]

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Buntu mencari pekerjaan, mendorong pemuda berusia 28 tahun ini mengusahakan ternakan itik penelur lebih setahun lalu bagi menjana pendapatan.

Ahmad Hamzi Zahin Zaharuddin berkata, walaupun terpaksa bergelumang dengan najis binatang itu setiap hari , namun ia tidak menjadi penghalang untuknya menjadi pengusaha telur itik berjaya.

Dia yang kini sedang mengikuti kursus pendawaian elektrik dan penyaman udara di bawah program Empower Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) berkata, pada permulaannya, dia hanya menternak 30 ekor itik dan kini mempunyai 130 ekor.

Menurutnya semua diternak untuk perusahaan telur masin yang akan diproses oleh ibunya, Amalina Hussin, 53, sebelum dijual kepada penduduk kampung serta kedai di sekitar rumah.

"Saya berasa bertuah kerana bidang penternakan dijalankan ini mendapat sokongan daripada ibu dan ayah selain turut dibantu oleh adik, Mohammad Iqbal Dhiaulhaq Zaharuddin, 25.

"Walaupun terpaksa menyediakan perbelanjaan RM170 seminggu untuk makanan palet namun kepuasan dapat dirasai apabila setiap pagi berpeluang mengutip telur pelbagai gred untuk diproses menjadi telur masin.

"Kebiasaannya, selepas musim menuai, itik peliharaan saya akan dibiarkan bebas di kawasan sawah padi dan ini adalah sebagai salah satu cara untuk memastikan ternakan ini dapat menghasilkan telur yang berkualiti sekali gus dapat mengurangkan kos makanan ternakan.

"Itik yang diternak ini akan menghasilkan sekurang-kurangnya 40 hingga 50 biji telur sehari bergantung kepada keadaan cuaca, namun jika musim hujan, telur yang dihasilkan berkurangan sedikit kerana persekitaran yang sejuk berbanding ketika cuaca normal," katanya ketika ditemui di Kampung Padang Kala, Melor.

Anak sulung daripada empat beradik ini berkata, ibu dan ayahnya menjadi tulang belakang yang banyak memberi dorongan dan sokongan serta modal permulaan untuknya memulakan ternakan itik secara kecil-kecilan.

"Selain itu, pihak Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) turut memberi bimbingan dan bantuan anak itik untuk mengembangkan ternakan itik.

"Walaupun ternakan itik yang diusahakan ini berskala kecil, namun saya juga mempunyai impian serta memasang angan-angan untuk mengembangkan perniagaan dan menambah jumlah ternakan," katanya.

Disiarkan pada: September 17, 2020 @ 11:12am
d