mutakhir

Asri Janggut dipanggil ke IPK Selangor

Oleh Hafidzul Hilmi MohdNoor

Kuala Lumpur: Pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid atau Asri Janggut sekali lagi akan dipanggil polis untuk dirakam keterangan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, pada 22 September ini.

Mohd Asri berkata, ia bagi membantu siasatan kes kegiatan perjudian di Bandar Baru Sungai Buloh, yang tular sebelum ini.

"IPK Selangor ada menghubungi saya sebentar tadi. Saya diminta untuk hadir beri keterangan di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah IPK Selangor.

"Percakapan diambil mengenai kes mesin judi di Sungai Buloh. Saya akan hadir bersama peguam," katanya menerusi WhatsApp kepada Harian Metro.

Ogos lalu, Mohd Asri mendedahkan dua rakaman video menerusi laman sosial Facebook, berhubung apa yang didakwanya sebagai aktiviti perjudian, penjualan rokok seludup dan perniagaan haram.

Pada 14 Ogos lalu, Mohd Asri Hamid, 42, hadir ke Bukit Aman, Kuala Lumpur, untuk memberi keterangan.

Mohd Asri dipanggil memberi keterangan dipercayai susulan dakwaannya bahawa anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak menjaga solat.

Sebelum ini, Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid dilapor berkata, Asri disiasat mengikut Seksyen 505 (b), Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.

Disiarkan pada: September 17, 2020 @ 11:23am
d