mutakhir

Cubaan seludup rokok, minuman keras gagal

Oleh Melvin Joni

Kuching: Batalion 11 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuching menggagalkan cubaan menyeludup rokok dan minuman keras bernilai RM 992,350 dalam serbuan Op Libas yang dijalankan di sebuah rumah di Jalan Lapangan Terbang di sini.

Pegawai Pemerintah Batalion 11 PGA Kuching Superintendan Rosdi Inai berkata sebanyak 6,000 karton rokok (1,200,000 batang) yang disimpan di dalam kediaman berkenaan berjaya dijumpai dalam operasi yang dijalankan oleh seramai 16 pegawai dan anggota dari Batalion 11 PGA pada 10.30 pagi atas risikan dan maklumat yang diperoleh.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut juga menjumpai sebanyak 65 karton minuman keras jenis bir yang disembunyikan di dalam van yang terletak di kawasan kediaman itu.

"Hasil pemeriksaan mendapati pemilik premis berkenaan gagal menunjukkan sebarang dokumen yang sah berhubung pemilikan barang itu.

"Kedua-dua barang dirampas kerana disyaki belum lulus kastam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Rosdi berkata pasukan serbuan turut menahan dua lelaki tempatan berusia 20 dan 55 tahun yang dipercayai pemilik rumah itu.

"Hasil maklumat yang diperoleh, barangan ini dipercayai diseludup dari negara jiran melalui jalan darat mahupun air dan akan dipasarkan di sekitar Kuching," katanya.

Tambahnya, kes diserah kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching dan disiasat mengikut Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967 yang membawa hukuman denda minimum 10 kali nilai barang dan maksimum 20 kali nilai barang atau penjara tiga tahun jika sabit kesalahan.

Disiarkan pada: September 17, 2020 @ 12:58pm
d