mutakhir

Biji kopi tiada permit

Oleh Omar Ahmad

Senai : Cubaan membawa masuk biji kopi dari Indonesia melalui pos berjaya dipatahkan oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Johor di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), semalam.

Pengarah MAQIS Johor, Nur Afifah A Rahman berkata ketika pemeriksaan dilakukan di Pejabat Pos DHL LTAS, pihaknya menemui bungkusan yang mengandungi biji kopi seberat lebih kurang 18.4 Kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM790.13.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati biji kopi itu tidak mempunyai permit import sah yang dikeluarkan oleh Jabatan MAQIS dan Sijil Fitosanitasi daripada negara asal.

"Biji kopi dibawa masuk untuk kegunaan sendiri menerusi pesanan POS oleh seorang wanita berusia 30 an.

"Biji kopi itu dirampas untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kes akan disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] kerana mengimport keluaran pertanian tanpa permit, lesen atau perakuan yang dikeluarkan di bawah akta ini.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) Akta yang sama, iaitu denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 6 tahun atau kedua-duanya.

Disiarkan pada: September 17, 2020 @ 1:57pm
d