mutakhir

Banyak sangat isu meragukan!

Oleh Samadi Ahmad

Putrajaya: Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menuntut penjelasan berhubung kehilangan dana berjumlah RM1 bilion melalui projek menaik taraf kemudahan infrastruktur Landasan Berkembar Elektrik di Lembah Klang Fasa Dua (KVDT2) sewaktu pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Ketua Penerangan ARMADA Nasional, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir, berkata, bekas Menteri Pengangkutan Anthony Loke pernah memaklumkan kepada Kabinet pada 19 September 2018, bahawa kerajaan PH mampu mengurangkan kos projek KVDT2 daripada RM5.265 bilion yang diluluskan kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada RM3 bilion hingga ke RM3.5 bilion jika ia ditender semula.

Menurut beliau, pentadbiran PH bagaimanapun menganugerahkan projek berkenaan secara rundingan terus kepada syarikat Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn. Bhd (DMIA) dengan kos RM4.475 bilion.

Katanya, ARMADA memandang serius perkara berkenaan dan melihat jika ada ketirisan berlaku membabitkan projek KVDT2 dan menuntut bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng memberi penjelasan segera mengenainya kepada rakyat.

"Guan Eng perlu menjelaskan isu ini dengan segera dan ARMADA tidak akan teragak-agak untuk melaporkan perkara ini kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," katanya pada sidang media di pejabat BERSATU Putrajaya, di sini, tadi.

Perkara itu ditimbulkan ARMADA susulan sepucuk surat setebal tujuh muka surat daripada bekas Ketua Pegawai Eksekutif Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB), Mohd Rani Hisham Samsudin kepada Guan Eng pada 2019 yang kini tersebar melalui laman sosial.

Antara intipati surat itu, Mohd Rani meminta supaya Kementerian Kewangan yang diterajui Guan Eng ketika itu menimbang semula hasrat untuk melantik DMIAbagi projek KVDT2.

Mohd Rani dikatakan mendakwa DMIA mempunyai prestasi buruk semasa menjayakan projek KVDT fasa 1 yang bermula pada Mei 2016 sehingga menyebabkan kelewatan projek KVDT1.

Mohd Ashraf berkata, susulan surat berkenaan, Mohd Rani juga ditukar ke bahagian lain, justeru, pihaknya turut menuntut penjelasan bagaimana perkara sedemikian boleh berlaku.

Menurut beliau, selepas mengambil alih pentadbiran kerajaan daripada BN, PH membatalkan KVDT2 dengan alasan kos yang terlalu tinggi dan mahu projek berkenaan dijalankan melalui proses tender terbuka.

"Namun apa yang menjadi persoalan ramai apabila Kementerian Pengangkutan yang diterajui Anthony Loke ketika itu, mengumumkan Kabinet memutuskan untuk menganugerahkan kontrak terbabit semula kepada DMIA dengan alasan bagi mengelakkan tindakan undang-undang," katanya.

Disiarkan pada: September 17, 2020 @ 5:04pm
d