mutakhir

Lelaki maut dipercayai terjun jambatan

Oleh Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Seorang lelaki meninggal dunia selepas dipercayai terjun dari Jambatan Permas Jaya dekat Sungai Plentong di sini, pagi hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu, lelaki berusia 26 tahun terbabit yang terjun dari jambatan berkenaan dilihat terkapai-kapai oleh dua nelayan di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, nelayan terbabit terdengar jeritan orang awam dari atas jambatan meminta pertolongan.

"Dua nelayan terbabit bergegas ke tempat kejadian untuk selamatkan mangsa dan menariknya ke dalam perahu sebelum dibawa ke tebing sungai berdekatan Kampung Bakar Batu.

"Mangsa kemudian cuba diselamatkan anggota Bomba dan Penyelamat dan kakitangan Hospital Sultanah Aminah (HSA), namun disahkan meninggal dunia ketika diberikan bantuan kecemasan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Padzli berkata, siasatan di lokasi kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah.

"Barang berharga mangsa tidak hilang dan berada dalam keretanya di atas jambatan.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Disiarkan pada: September 17, 2020 @ 6:08pm
d