mutakhir

Luluh hati suami, isteri terbaring kaku [METROTV]

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Kulim: Luluh hati seorang suami apabila melihat isterinya terbaring di atas jalan dan dipercayai meninggal dunia selepas digilis sebuah treler dalam kemalangan di Jalan Sungai Ular di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada 1 tengah hari itu, Ahmad Norrizman Ahmad Termizi, 20-an yang juga orang kurang upaya (OKU) bisu itu tidak dapat menahan tangisan di sisi jasad isterinya, Nur Almass Zasmi, 23, yang juga bisu.

Pasangan itu mempunyai seorang anak perempuan berusia tujuh bulan.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Azhar Hashim berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan pada 1.20 tengah hari membabitkan sebuah motosikal dengan sebuah treler.

Menurutnya, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati penunggang motosikal dari arah Serdang ke Sungai Ular manakala lori pula dari arah bertentangan.

"Setibanya di lokasi, penunggang motosikal dipercayai hilang kawalan dan terbabas sebelum terjatuh ke bawah treler.

"Berikutan itu, mangsa digilis tayar di bahagian belakang treler berkenaan," katanya.

Azhar berkata, kejadian itu menyebabkan penunggang motosikal itu maut di tempat kejadian.

Katanya, mayat mangsa dibawa Unit Forensik Hospital Kulim untuk proses bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Disiarkan pada: September 17, 2020 @ 6:08pm
d