mutakhir

Kerajaan PN terbukti berfungsi bantu rakyat - Muhyiddin

Oleh BERNAMA

Kota Kinabalu: Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan kajian menunjukkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah kerajaan yang berfungsi apabila dapat membantu rakyat dalam mendepani pandemik Covid-19 di negara ini dalam tempoh singkat.

Perdana Menteri berkata, kajian itu juga mendapati kerajaan PN terbukti mampu membela nasib semua rakyat melalui bantuan disalurkan kepada mereka sehingga tiada yang tertinggal.

"Banyak pihak yang buat kajian mendapati kerajaan PN adalah kerajaan yang paling popular. Saya mereka panggil 'Abah'.

"Bukan saya yang cakap... ini bukan masuk bakul angkat sendiri tetapi realitinya dalam masa yang singkat terbukti kerajaan dapat menangani masalah (dengan) membantu rakyat yang terkesan akibat penularan Covid-19," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah Mesra Bersama Perdana Menteri di Sepanggar, di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee serta calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) Karambunai Datuk Yakub Khan dan calon BN bagi Dun Darau Datuk Jumat Idris bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 26 September ini.

Beliau berkata, usaha dan langkah diambil Kerajaan Persekutuan yang diterajui PN dalam menangani pandemik Covid-19 dianggap terbaik di dunia.

"Ini menunjukkan keupayaan kerajaan untuk memastikan rakyat hidup dalam keadaan baik selepas ekonomi teruk dan kehidupan terjejas semasa penularan Covid-19 di negara ini," katanya.

Sehubungan itu, Muhyiddin berkata, rakyat perlu memastikan kerajaan yang menerajui Sabah selari dengan Kerajaan Persekutuan.

"Oleh itu, rakyat Sabah perlu mengundi calon pada PRN Sabah yang sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan… hubungan yang rapat antara kerajaan negeri dan pusat penting bagi memastikan ekonomi di Sabah dapat dipulihkan dengan lebih cepat.

"Kita mahu bangunkan semua negeri di seluruh Malaysia agar ia lebih pesat dan saya mahu pembangunan itu dapat dirasai dan dinikmati seluruh rakyat jelata. Kalau ini dapat dilakukan, ekonomi negara akan naik semula," katanya.

Rakyat Sabah akan mengundi pada 26 September ini manakala pengundian awal pada 22 September.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Disiarkan pada: September 17, 2020 @ 7:57pm
d