mutakhir

Tak serik buat jahat !

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Seorang lelaki yang baru beberapa hari dibebaskan dengan jaminan polis membabitkan kes curi sekali lagi ditahan selepas didapati menyimpan komponen kenderaan curi di sebuah bengkel di Jalan Klang Lama, di sini, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin@Hilmi berkata, bertindak atas maklumat awam sepasukan polis diketuai Ketua Balai Petaling, Inspektor Nazrul Hisham Musa melakukan pemeriksaan di bengkel berkenaan pada jam 12.30 tengah hari.

"Pemeriksaan menemui tiga enjin motosikal yang nombor enjin sudah diganggu dan satu kereta jenis Proton Iswara dipercayai hilang Mac lalu.

"Susulan itu polis menahan seorang lelaki berusia 30-an untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan tadi.

Zairulnizam berkata, pemeriksaan ke atas kereta yang ditemui mendapati kereta itu dilaporkan hilang pada Mac lalu di kawasan Jalan Klang Lama.

"Siasatan ke atas suspek mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan kes curi kenderaan.

"Suspek kini direman selama tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A," katanya.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan jenayah terutama curi kenderaan boleh menghubungi mana-mana balai polis terdekat.

"Selain itu sebarang maklumat juga boleh disalurkan IPD Brickfields di talian +603-22979222," katanya.

Disiarkan pada: September 17, 2020 @ 8:17pm
d