mutakhir

'Lebih banyak bantuan jika Sabah sehaluan dengan Persekutuan'

Oleh BERNAMA

Kudat: Lebih banyak bantuan dan peruntukan dapat disalurkan kepada rakyat Sabah sekiranya kepimpinan kerajaan negeri sebaris dengan kerajaan Persekutuan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata buat masa ini, kerajaan Persekutuan hanya dapat memberi bantuan kepada Sabah setakat yang diwajibkan dalam Perlembagaan Persekutuan kerana kerajaan negeri tidak sehaluan dengan kerajaan Persekutuan.

"Kita bantu tetapi bantuan itu setakat mana kita diwajibkan oleh Perlembagaan Negara, itu hak orang Sabah," katanya ketika berucap pada Program Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama SAHABAT Kudat di Dewan Tun Mustapha di sini hari ini.

Turut hadir calon Perikatan Nasional bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Kapor Nurlizah Gurahman.

Perdana Menteri berkata, dalam situasi sukar dan luar biasa akibat pandemik Covid-19 ini, kerajaan negeri dan Persekutuan perlu bersatu serta bersama-sama membantu rakyat yang terjejas dengan virus berkenaan.

Beliau berkata, kerajaan Persekutuan sentiasa mencari jalan untuk membantu khususnya golongan B40 yang paling terkesan sejak negara berdepan musibah itu.

"Kalau kerajaan negeri dan Persekutuan itu sama, sebaris, satu saf, sehati, sejiwa, alangkah mudah (menyalur bantuan)," katanya.

Muhyiddin juga berkata, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang wujud sekian lama banyak membantu meningkatkan taraf hidup rakyat di negara ini.

Katanya, sehingga Julai lepas, seramai 63,781 orang di Sabah mendapat faedah pembiayaan AIM yang berjumlah RM2.36 bilion.

Di kawasan Parlimen Kudat khususnya, seramai 4,267 orang mendapat pembiayaan pinjaman berjumlah RM98.5 juta.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Disiarkan pada: September 18, 2020 @ 1:58pm
d