mutakhir

APMM tahan kapal tangki berlabuh tanpa kebenaran

Oleh Omar Ahmad

Kota Tinggi : Sebuah kapal tangki ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tanjung Sedili kira-kira 11 batu nautika timur laut Tanjung Penawar di Perairan Johor Timur dekat sini, pagi semalam.

Pengarah APMM Zon Maritim Tanjung Sedili Kepten Maritim Mohd Zulfadli Nayan berkata, kapal tangki itu ditahan pada 11.20 pagi oleh kapal perondanya yang sedang melaksanakan pemeriksaan rutin Op Benteng Laut 1/2020.

Menurutnya, kapal itu ditahan atas kesalahan berlabuh tunggu tanpa pemakluman atau kelulusan Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia mengikut Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar (OPS) 1952.

"Pemeriksaan lanjut mendapati kapal berkenaan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 361(6) OPS 1952 kerana gagal mengemukakan dokumen insurans.

"Kapal yang berdaftar di Panama itu dikendalikan oleh 15 kru termasuk nakhoda.

"Sembilan daripadanya adalah warga China manakala enam warga Indonesia yang kesemuanya lelaki berusia lingkungan 22 hingga 62 tahun," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau keduanya bagi Seksyen 491B(L) OPS 1952.

Bagi Seksyen 361(6) OPS 1952 boleh didenda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM100,000.

Menurut Zulfadli, pihaknya tidak akan berkompromi dalam mengambil tindakan sewajarnya dan sentiasa mempertingkatkan kawalan keselamatan demi memastikan perairan negara khususnya perairan itu bebas daripada sebarang aktiviti jenayah dan pelanggaran undang-undang.

Disiarkan pada: September 18, 2020 @ 2:23pm
d