mutakhir

Promosi terendak ke pasaran global

Oleh Mohd Roji Kawi

Dalat: Terendak yang digunakan wanita masyarakat Melanau sejak sekian lama, mampu menjadi cenderahati menarik untuk dibawa balik oleh pelancong yang mengunjungi Sarawak.

Terendak yang juga dikenali dengan nama sera, u, sera'ong atau tapo, sinonim dengan masyarakat Melanau di Mukah yang merangkumi Dalat, Oya, Igan, Matu, Daro hinggalah ke Kuala Rajang kerana tanpanya tidak lengkap busana tradisional masyarakat itu.

Justeru, satu usaha sedang dijalankan untuk mengangkat terendak ke tahap lebih tinggi dengan memperhebatkan promosi bagi menjadikannya cenderahati yang wajib dimiliki pelancong.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak negeri Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, antara usaha itu ialah akan mempamerkan terendak pelbagai saiz di Bazarnita Dalat yang kini masih dalam pembinaan.

Menurutnya, sebanyak 180 penutup kepala berbentuk konitu yang dihasilkan oleh 14 pembuat terendak di Kampung Tanam di sini, akan dipamerkan di Bazarnita Dalat itu nanti.

"Kita bertuah kerana masih ada yang mahir membuat terendak seperti di Kampung Tanam ini, malah lebih membanggakan kerana ada golongan muda turut berusaha untuk mengangkat martabat seni pembuatan kraftangan tradisional itu.

"Ini membuka harapan baharu kepada kita untuk mempromosikan terendak ke pasaran yang lebih luas," katanya ketika mengunjungi rumah seorang pembuat terendak, Fidelis Micheal di Kampung Tanam hari ini.

Fatimah berkata, selain mempamerkannya di Bazarnita Dalat, promosi juga akan diperhebatkan di media sosial yang diyakini mampu menarik perhatian masyarakat global.

"Jika dahulu, terendak hanya digunakan untuk melindungi kepala pemakainya dari hujan dan panas dan ia kemudiannya dipadankan dengan busana tradisional wanita Melanau ketika menghadiri majlis rasmi atau keramaian dan kini kini ia menjadi kraftangan sebagai cenderahati.

"Kita mahu kualiti terendak yang dihasilkan harus menjadi keutamaan kerana ia adalah simbol manifestasi semangat wanita masyarakat Melanau yang sentiasa gigih berusaha membantu menambah pendapatan keluarga," katanya.

Sementara itu, Fidelis, 34, berkata, beliau bangga kerana memiliki kemahiran menghasilkan terendak yang dipelajari dari ibunya.

Menurutnya, dia memanfaatkan masa terluang sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu untuk menghasilkan terendak dan memasarkannya pada harga lebih RM100 setiap satu, bergantung kepada saiz.

Paling membanggakannya, Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut menempah terendak yang dihasilkannya.

"Saya akan menyerahkan terendak itu kepada Tuanku pada bulan depan," katanya.

Disiarkan pada: September 18, 2020 @ 3:05pm
d