mutakhir

Lelaki Bangladesh cedera ditetak, samun

Oleh Omar Ahmad

Johor Bahru: Lelaki Bangladesh cedera ditetak dalam kejadian samun di sebuah kedai runcit di Taman Sentosa di sini, pagi hari ini.

Dalam kejadian 1.20 pagi itu, mangsa yang berusia lingkungan 30-an yang juga pekerja kedai runcit itu mengalami luka di kepala sebelah kiri dan tangan kiri.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, siasatan awal mendapati mangsa didatangi dua suspek tempatan berusia 20-an bersenjatakan pisau pemotong sayur.

Menurutnya, suspek itu dikatakan menaiki kereta warna biru.

"Suspek didakwa mengambil telefon bimbit mangsa yang dianggarkan bernilai RM300.

"Suspek juga bertindak menetak tangan kiri mangsa dengan menggunakan pisau dan memukul kepala lelaki itu dengan kotak resit.

"Kedua suspek tidak mengambil wang dari kedai runcit itu sebelum melarikan diri," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menyalurkan maklumat dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di talian, 07-2182323.

Disiarkan pada: September 18, 2020 @ 4:50pm
d