mutakhir

23 ketulan ganja dalam kereta dirampas

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Petaling Jaya: Dua penganggur ditahan selepas disyaki terbabit dalam kegiatan mengedar dadah dalam serbuan di tempat letak kenderaan di Jalan Bukit 11/2, di sini, Selasa lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor, Asisten Komisioner Abdul Latiff Mehat berkata, dua pengedar dadah berusia 43 dan 49 tahun itu ditahan sepasukan anggota JSJN pada 1.15 tengah hari.

"Pemeriksaan di dalam kereta Proton Preve dinaiki suspek berkenaan menemui 23 ketulan mampat daun kering yang dibalut plastik lutsinar disyaki ganja dianggarkan seberat 23 kilogram (kg) bernilai RM57,500.

"Kami turut merampas wang tunai berjumlah RM650 daripada salah seorang suspek berkenaan untuk siasatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Abdul Latiff berkata, saringan ujian air kencing dilakukan terhadap kedua-dua suspek terbabit mendapati mereka positif dadah.

"Siasatan lanjut mendapati suspek dipercayai aktif melakukan kegiatan pengedaran dadah di Lembah Klang, kira-kira tiga tahun lalu.

"Dua suspek itu direman selama tujuh hari sehingga Selasa depan untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Disiarkan pada: September 18, 2020 @ 4:57pm
d