mutakhir

Pegawai trafik cedera dilanggar [METROTV]

Oleh Norzamira Che Noh

Shah Alam: Pegawai polis trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam cedera dilanggar sebuah kereta yang melarikan diri dari sekatan jalan raya (SJR) di Persiaran Mokthar Dahari, hari ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, dalam kejadian pada 8.10 pagi itu, mangsa, Ismail Aun, 55, sedang menjalankan pemantauan operasi trafik dengan berpakaian biasa (preman) dan menunggang motosikal Honda RS 150.

"Selepas selesai pemeriksaan di lokasi, mangsa ingin meneruskan perjalanan untuk ke kawasan aduan kesesakan trafik iaitu di bulatan Puncak Perdana.

"Bagaimanapun, sebuah kereta Proton Wira yang sebelum itu ditahan anggota trafik tiba-tiba melanggar mangsa dari arah belakang dipercayai cuba melarikan diri daripada pemeriksaan.

"Mangsa kemudian terjatuh di atas jalan raya dan digilis, manakala kereta dinaiki dua lelaki itu memecut laju ke arah Puncak Alam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa cedera di kaki sebelah kanan, manakala motosikal mangsa rosak di bahagian belakang sebelah kanan.

Katanya, mangsa sudah mendapatkan rawatan di Hospital Shah Alam, di sini.

"Hasil pemeriksaan terhadap nombor pendaftaran kenderaan, didapati kereta itu didaftarkan atas nama seorang lelaki bernama Mospid Norasmad, beralamat di Seksyen 24, Shah Alam.

"Pemilik kenderaan sedang dikesan untuk membantu siasatan dan kita juga menyeru pemilik untuk tampil membantu pihak polis," katanya.

Baharudin berkata, orang awam juga dialu-alukan memberi kerjasama sekiranya mempunyai maklumat mengenai dua suspek yang sedang dikesan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 186 dan 307 Kanun Keseksaan," katanya.

Disiarkan pada: September 18, 2020 @ 4:58pm
d