mutakhir

Kelantan berpotensi jadi hab pengeluar nanas MD2

Oleh BERNAMA

Pasir Puteh: Kelantan berpotensi menjadi negeri hab pengeluaran nanas terbesar dengan varieti MD2 dalam tempoh beberapa tahun akan datang, kata Pengarah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Kelantan, Mohd Zamani Ab Ghani.

Beliau berkata, ini berikutan terdapat banyak kawasan tanah tinggi dan berbukit sesuai dengan tanaman varieti berkenaan, malah sehingga kini lebih 83 hektar tanaman MD2 diusahakan lebih 100 petani serta pekebun kecil sejak ia diperkenalkan pada 2016.

"Sambutan terhadap tanaman itu sehingga sekarang sangat menggalakkan terutama pegawai kerajaan yang berpencen seperti guru selain petani dan pekebun kecil (yang mengusahakannya)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mini Karnival Nanas MD2 di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Alumni 4B Kelantan Datuk Dr Mohd Kaisan Ab Rahman.

Mohd Zamani berkata, varieti itu berbeza berbanding nanas lain kerana ia tidak memberi kesan terhadap kesihatan selain rasanya lebih manis dan tahan melawan serangan serangga perosak.

Beliau berkata, vVarieti nanas itu mampu menghasilkan pendapatan antara RM8,000 hingga RM25,000 bagi setiap hektar jika diusahakan mengikut (cara) tanaman betul.

"Bagi menjamin pasaran MD2, kami bercadang membuka kedai khas mengenai varieti itu di setiap jajahan di Kelantan sebelum mengeksport ke negeri lain.

"Setakat ini empat kedai diwujudkan iaitu di Kuala Krai, Tanah Merah, Jeli dan Pasir Mas yang merangkumi Rantau Panjang," katanya.

Beliau berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan meluluskan peruntukan RM1.8 juta antaranya membabitkan bantuan benih dan khidmat nasihat sepanjang tahun ini untuk membangunkan tanaman nanas itu di Kelantan.

Selain itu, katanya, pihaknya menubuhkan Skim Agro Pemuda untuk menggalakkan golongan belia menceburi bidang industri pertanian dengan memberi bantuan RM20,000 kepada mereka yang mengusahakan tanaman varieti itu sekurang-kurangnya 0.46 hektar.

Disiarkan pada: September 18, 2020 @ 5:05pm
d