mutakhir

ATM sentiasa sedia pertahan Sabah

Oleh Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Kerajaan memberi jaminan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa bersiap sedia dan berkeupayaan untuk mempertahankan Sabah daripada sebarang ancaman luar.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tuduhan pihak tertentu kononnya pasukan keselamatan negara tidak bersedia daripada segi keupayaan adalah tidak berasas.

Katanya, usaha juga terus diambil untuk memperkasa dan menambah kekuatan pasukan Tentera Darat, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

"Pasukan keselamatan negara, Tentera Darat, TLDM dan TUDM sentiasa bersiap siaga mempertahankan Sabah jika ada sebarang ancaman.

"Ada yang mengatakan kita tidak bersedia, tidak mempunyai kemampuan untuk menjaga keselamatan, sempadan dan kedaulatan Sabah, ini tidak betul," katanya ketika sidang media pada Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) Peringkat Negeri Sabah, di sini, hari ini.

Beliau berkata, satu Briged Infantri; tiga batalion Infantri; tiga Rejimen Artileri; sebuah Rejimen Armor dan satu Skuadron Pasukan Udara Tentera Darat akan diwujudkan di seluruh Sabah bagi mengukuhkan lagi kawalan keselamatan sedia ada.

Pada masa sama katanya, pos kawalan sempadan juga akan ditambah menjadi 19 keseluruhannya berbanding 17 sebelum ini.

Bagi TLDM, katanya sebuah kapal perang baharu sudah tiba di pangkalan Teluk Sepanggar baru-baru ini, manakala dua lagi menyusul selepas ini.

"Pasukan TUDM juga sentiasa bersiap sedia walaupun tiada pangkalan di Sabah tetapi jet kita hanya mengambil masa 15 minit untuk ke pantai timur Sabah dari pangkalan Labuan," katanya.

Pada majlis itu, seramai 350 veteran ATM dari Sabah menerima PJM yang disampaikan Ismail Sabri.

Disiarkan pada: September 18, 2020 @ 6:00pm
d