mutakhir

Kes baharu Covid-19 melonjak semula

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Jangkitan kes baharu Covid-19 dalam negara melonjak semula apabila merekodkan 95 kes, hari ini.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan penularan wabak itu kepada 10,147 kes dengan jumlah kes aktif 668 kes serta satu kes kematian direkodkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes kematian ke-129 itu membabitkan wanita warga Filipina berusia 50 tahun (kes ke-10,145) yang mengalami gejala batuk dan sesak nafas pada 14 September lalu.

"Wanita berkenaan mendapatkan rawatan di sebuah pusat perubatan sebelum dirujuk ke Hospital Semporna, Sabah, namun beliau tidak pergi mendapatkan rawatan berikutan kekangan dihadapi.

"Beliau kemudian ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan dibawa ke Hospital Semporna sebelum disahkan meninggal dunia pada hari sama. Ujian saringan dilakukan menunjukkan beliau positif Covid-19," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, daripada 95 kes baharu itu, sebanyak 91 kes adalah penularan tempatan, manakala empat lagi kes import dari Indonesia serta China membabitkan bukan warganegara terdiri daripada tiga pendatang asing tanpa izin (Pati) dan seorang kru kapal di Sabah.

"Daripada 91 kes penularan dalam negara, 90 kes dilaporkan di Sabah dengan 76 kes membabitkan Kluster Benteng LD, empat kes Kluster Pulau, tiga Kluster Selamat, tiga kes Severe Acute Respiratory Illness (SARI), dua kes saringan bergejala, satu kes saringan kematian dan satu kes saringan kontak rapat membabitkan individu positif Covid-19 yang meninggal dunia, hari ini.

"Satu lagi kes penularan tempatan direkodkan di Negeri Sembilan membabitkan kes saringan Kluster Bunga," katanya.

Beliau berkata, terdapat 11 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan dua kes memerlukan bantuan pernafasan.

"Sebanyak 14 kes dilaporkan pulih, hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya adalah sebanyak 9,264 kes atau 91.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: September 18, 2020 @ 6:38pm
    d